Saturday, January 20, 2007

Billionaire from Malaysia !
---------------------------

---------------------------

Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar

TAN Sri Mustapha Kamal Abu Bakar adalah Pengerusi Eksekutif, MK Land Holdings Berhad, iaitu syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan pada 2 Ogos 1978 dan disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada 8 Jun 1992.

Asalnya, MK Land Holdings Berhad dikenali sebagai Perfect Food Industries Sdn. Bhd. yang melibatkan diri dalam pembuatan dan penjualan biskut dan bahan makanan melalui kilang mereka di Melaka. Selepas penyenaraiannya di BSKL, ia dikenali sebagai Perfect Food Industries Berhad dan akhir sekali, namanya ditukar kepada MK Land Holdings Berhad pada 27 Ogos 1999.

Jual saham

Namun, pada bulan Jun 2003, MK Land Holdings Berhad menjual semua sahamnya dalam Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd, Markins Corporations Sdn Bhd dan Fairway Review Sdn Bhd dengan harga RM6,739,674. Ini adalah kerana Tan Sri Mustapha bercadang mahu menumpukan perniagaan syarikatnya pada pembangunan hartanah dan pelaburan.

Aktiviti lain

Selain pembangunan hartanah, MK Land Holdings Berhad juga melibatkan diri dalam operasi hotel, operasi tempat peranginan, operasi taman tema, perkhidmatan penyelenggaraan harta dan pelaburan.
Antara subsidiari utama MK Land Holdings Berhad adalah Paramoden Sdn. Bhd., Medan Prestasi Sdn. Bhd. dan Saujana Triangle Sdn. Bhd.

Tumpuan MK Land Holdings Berhad

Walaupun kebanyakan projek MK Land Holdings Berhad adalah berkos rendah dan sederhana, ini tidak bermakna projek-projek itu menggadaikan mutu. Projek-projek perumahan MK Land Holdings Berhad lengkap dengan kemudahan yang terkini dan berkualiti.

Antara aspirasi MK Land Holdings Berhad adalah bagi menjadi pendahulu pasaran dalam memberikan produk yang inovatif dan berkualiti di samping mengekalkan khidmat pelanggan yang baik.

Kepentingan lain

Selain pembinaan dan pembangunan hartanah, kumpulan MK juga mempunyai kepentingan dalam sektor pendidikan dan juga pembuatan perabot. Secara langsung, Tan Sri Mustapha mempunyai 23.45 peratus kepentingan dalam MK Land Holdings Berhad dan secara tidak langsung, beliau memiliki 20.68 peratus kepentingan melalui MKN Holdings Sdn. Bhd.

Projek-projek besar MK Land Holdings Berhad

Di bawah kepimpinan Tan Sri Mustapha, MK Land Holdings Berhad melibatkan diri dalam banyak projek. projek perumahan Damansara Perdana dan Damansara Damai, kedua-duanya di Petaling Jaya. Projek itu, dengan lokasinya yang strategik, iaitu dalam Segi tiga Emas Petaling Jaya. Kawasan itu kini muncul sebagai pusat membeli belah, fesyen, makanan dan hiburan dengan pusat membeli belah seperti One Utama, IKEA, Tesco, The Curve dan Cathay Cineleisure.

Selain itu, Taman Bunga Raya di kawasan Bukit Beruntung iaitu bernilai RM840 juta, projek perumahan Cyberia di Cyberjaya, projek Bukit Merah Laketown Resort di Taiping, Perak iaitu bernilai RM3 bilion dan Langkawi Lagoon.

Latar belakang

Tan Sri Mustapha adalah seorang bekas penuntut Universiti Malaya dalam jurusan Sejarah. Sebelum bergiat cergas dalam dunia perniagaan, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah. Hobinya adalah membaca.

Penumpuan pada gaya hidup canggih

Semua projek perumahan MK Land Holdings Berhad dilengkapkan dengan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi supaya penghuninya menjadi rakyat Malaysia dengan gaya hidup yang memanfaatkan IT atau e-lifestyle township. Bagi mencapai hasrat ini, MK Land Holdings Berhad memeterai perjanjian dengan Palette Multimedia Berhad bagi membekalkan pengurusan dan operasi rangkaian multimedia yang pantas dan juga membekalkan kandungan dan aplikasi multimedia.

Usahawan yang cintakan kebajikan

Tan Sri Mustapha adalah usahawan dermawan dan suka melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan. Contohnya, beliau banyak memberi sumbangan kepada pendidikan orang pekak. Sumbangannya diiktiraf apabila beliau dianugerahkan anugerah Caring Hearts.

Subsidiari dan syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad

BML Management Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam perniagaan perkhidmatan penyelenggaraan harta.

Bukit Merah Resort Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel, tempat peranginan dan taman tema air.
Dominant Star Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.

Fairview Review Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Golden Precinct Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam penyewaan dan penyelenggaraan hartanah.

MK Land Resources Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah dan pelaburan.

MK Land Ventures Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.

MK Development Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pelaburan dan urus niaga hartanah.

Prominent Valley Berhad, subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi padang golf.
Pujaan Pastik Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam operasi hotel.

Segi Objective (M) Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, hotel, tempat peranginan dan taman tema air.
Sumbangan Berkat Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam menguruskan hotel.
Tema Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah, operasi hotel dan pelaburan.

Vibrant Leisure Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Zaman Teladan Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Markins International (HK) Ltd., syarikat bersekutu MK Land Holdings Berhad dengan 14 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengedaran bahan makanan.

Melur Unggul Sdn. Bhd., subsidiari MK Land Holdings Berhad dengan 100 peratus kepentingan. Syarikat ini terlibat dalam pengurusan hartanah.




------------------------------


T. Ananda Krishnan adalah individu yang menguasai Maxis dan beberapa syarikat awam lain. Beliau lebih dikenali dengan nama AK. Pada tahun 2003, beliau adalah individu terkaya di Malaysia.
T. ANANDA Krishnan adalah individu yang menguasai Maxis dan beberapa syarikat awam lain. Beliau lebih dikenali dengan nama AK. Pada tahun 2003, beliau adalah individu terkaya di Malaysia.

Kejayaan

Beliau adalah Pengasas Usaha Tegas Sdn. Bhd. dan beliau memiliki 70 peratus saham Usaha Tegas. Beliau juga memiliki sepenuhnya, yakni 100 peratus pegangan dalam Binariang Satellites Systems atau BSS.

Aspirasinya adalah menjadikan Measat Broadcast Network Systems atau Astro sebagai syarikat media bertaraf global. Melalui Binariang Satellites Systems beliau memiliki dua buah satelit orbit, iaitu Measat 1 dan Measat 2. 43 peratus pegangan dalam KLCC Holdings. Tetapi, beliau sudah menjual kepentingannya dalam KLCC Holdings dan memperoleh RM1.2 bilion.

Usaha Tegas Sdn. Bhd. pula memiliki 33 peratus kepentingan dalam Tanjong Plc, 90 peratus kepentingan dalam Maxis Communications Berhad, 100 peratus pegangan dalam Measat Broadcast Network Systems. Tanjong Plc pula memiliki 84 peratus saham Powertek Bhd.

Beliau juga mempunyai kepentingan dalam Bumi Armada Berhad, iaitu syarikat perkapalan. Objektif Bersatu Sdn. Bhd. dengan 49 peratus kepentingan. Syarikat filem yang berpusat di Hong Kong, iaitu Celestial Pictures Ltd. dengan 100 peratus kepentingan. Kepentingan Ananda Krishnan dalam Celestial Pictures Ltd. dibeli daripada Shaw Brothers pada tahun 2000 dengan harga RM292.6 juta.

Dua buah syarikat, iaitu Zodan dan Zudavi. Dua syarikat itu adalah antara enam buah syarikat yang diberikan hak menggali minyak dan gas di Indonesia pada tahun 2001. Kepentingannya dalam Bumi Armada Berhad diperoleh melalui Objektif Bersatu Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang dibeli dengan usahawan bernama Wan Ariff Wan Hamzah.

Projek-projek yang menyumbang kepada kekayaan
Antara projek yang berjaya dan mendatangkan hasil yang lumayan adalah projek pembangunan KLCC iaitu usaha sama di antara Usaha Tegas Sdn. Bhd. dan Petronas.

Melalui pegangannya dalam Tanjong Plc pula, Usaha Tegas Sdn. Bhd. mempunyai kepentingan dalam industri hiburan seperti dalam Tanjong Golden Village Cinemas. Kedua-dua Tanjong Plc dan Powertek Berhad masing-masing mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2.2 bilion dan RM1.2 bilion. Maxis pula mempunyai seramai 2.3 juta pengguna, menjadikannya syarikat telekomunikasi yang terbesar di Malaysia.

Perkhidmatan TV Satelit Astro kini meliputi beberapa negara seperti Malaysia, Taiwan, Indonesia, India, Filipina, Brunei dan Vietnam. Di Malaysia sahaja, 850,000 orang menggunakan perkhidmatan TV Satelit Astro. Astro kini bernilai RM4 bilion. Binariang adalah syarikat televisyen satelit pertama negara, diberikan monopoli selama 20 tahun, iaitu sehingga tahun 2017.

Perniagaan di luar negara

Ananda Krishnan mempunyai kepentingan dalam bidang minyak dan gas di Amerika Syarikat, Sri Lanka, Mesir, Indonesia dan sebagainya. Beliau juga dikatakan memiliki dua buah studio animasi, sebuah di Filipina dan sebuah lagi di Hollywood. Beliau juga memiliki ladang pembakaan kuda di Australia. Selain itu, AK juga memiliki kepentingan dalam TVB.com, iaitu TV interaktif yang berpusat di Hong Kong.

Pendidikan

Ananda Krishnan berketurunan Tamil dan bapanya berasal dari Sri Lanka. Beliau bersekolah rendah di Sekolah Rendah Tamil Vivekananda, Kuala Lumpur. Kemudian, beliau bersekolah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne bagi mendapatkan ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan. Bagi peringkat sarjana pula, beliau melanjutkan pengajiannya ke Harvard University, Amerika Syarikat pada tahun 1964 dalam bidang ijazah pentadbiran perniagaan. Selepas mendapat ijazah sarjananya, beliau memulakan perniagaan dalam perdagangan minyak dan gas.

Keistimewaan

Ananda Krishnan adalah usahawan yang pandai memanfaatkan teknologi baru dan peluang perniagaan yang muncul. Kebijaksanaannya terserlah lagi kerana apabila Menara Berkembar Petronas dilancarkan, kadar penghuniannya adalah 100 peratus. Kini, kadar penghuni bagi Menara Berkembar Petronas masih tinggi, iaitu pada kadar 80 peratus.

Sumbangan

Ananda Krishnan banyak menyumbang kepada aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Contohnya, beliau mendermakan sebanyak RM160 juta kepada beberapa dana pendidikan di Malaysia.

Syarikat yang menyumbang dengan jumlah RM160 juta itu adalah Maxis Communications Berhad, Tanjong Plc dan Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. Daripada jumlah itu, RM100 juta didermakan kepada Dana Harapan Nusantara.

Dana Harapan Nusantara ditubuhkan oleh Ananda Krishnan sendiri melalui syarikatnya Usaha Tegas Sdn. Bhd. khas bagi pelajar Bumiputera. Dana Harapan Nusantara juga diberi peruntukan khas, iaitu 300 juta saham dalam Maxis yang bernilai kira-kira RM100 juta, yang dapat dijual apabila perlu.

Dana Harapan Nusantara juga melaksanakan pelbagai projek. Antaranya adalah projek bagi membantu pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui program berkembar di universiti dan kolej swasta tempatan.

Mulai tahun 2004, 100 orang pelajar dipilih setiap tahun bagi menyertai program itu. Selain itu, sebanyak RM5 juta juga diperuntukkan bagi pengurus dan profesional Bumiputera supaya mereka dapat menyertai program pendidikan eksekutif di Harvard Business School.

Usaha Tegas juga menubuhkan Yayasan Yu Cai dengan geran awal sebanyak RM25 juta. Yayasan Yu Cai diwujudkan bagi menyemai dan membangunkan bakat dalam pelbagai bidang.

Sumbangan pertama Yayasan Yu Cai adalah sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan bagi membantu penubuhan Jabatan Amalan dan Falsafah Tradisional Cina di Universiti Tun Abdul Razak.

Usaha Tegas juga memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia. Selain itu, Tanjong, Maxis dan Measat pula secara bersama menyumbangkan sebanyak RM10 million kepada Universiti Tun Abdul Razak.


-----------------------------

TAN Sri Rozali Ismail adalah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad. Bhd. Kejayaan besarnya tiba apabila beliau memiliki 33.9 peratus kepentingan dalam Puncak Niaga Holdings Berhad.
TAN Sri Rozali Ismail adalah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad.

Kerjaya

Tan Sri Rozali dilahirkan pada bulan Disember 1957, iaitu tahun Malaysia mencapai kemerdekaan. Tan Sri Rozali adalah peguam yang kemudiannya melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan, beliau bekerja dengan kerajaan dan lapan agensi kerajaan selama lapan tahun.

Selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya pada tahun 1981, Tan Sri Rozali memulakan kerjayanya di Biro Penyiasatan Kebangsaan sebelum bekerja dengan UDA sebagai Penasihat Undang-undang dalam perkara yang berkaitan dengan pekerja, pembangunan dan perancangan.

Penglibatan dalam sektor swasta

Pada tahun 1983, Tan Sri Rozali menyertai Bank Islam (M) Berhad sebagai Pengurus Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan. Pada masa itu, Tan Sri Rozali adalah perintis dalam Bank Islam Malaysia Berhad banyak membantu mengembangkan lagi institusi perbankan Islam itu. Tan Sri Rozali kemudiannya dijemput oleh Bank Rakyat supaya bertindak sebagai jururunding bagi menukarkan operasi perbankan mereka kepada operasi yang mematuhi kehendak Shariah. Kini, Bank Rakyat adalah antara institusi kewangan pembangunan (IKP) yang berdaya maju dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif.

Kejayaan

Beliau pernah menjalankan perniagaan dalam bidang guaman, pembangunan hartanah, pembinaan dan juga perbankan. Beliau menceburkan diri dalam bidang hartanah melalui beberapa syarikat persendirian seperti Central Plus Sdn. Bhd. dan Corporate Line (M) Sdn. Bhd.

Kejayaan terbesarnya dalam sektor pembangunan hartanah adalah projek perumahan Puncak Alam di Kuala Selangor. Tan Sri Rozali juga mengasaskan firma guamannya sendiri, iaitu Rozali Ismail & Co. sebagai peguam cara dan peguam bela. Beliau menguruskan firma guamannya itu selama tujuh tahun dan mengkhususkan kepada kes korporat, hartanah dan perbankan.

Pada tahun 1989 pula, Tan Sri Rozali mengasaskan syarikat milikan keluarga, iaitu Puncak Alam Housing Sdn. Bhd. bagi menjalankan projek pembangunan hartanah di Lembah Klang, Kuantan dan Johor. Antara projek terbesarnya adalah Bandar Baru Puncak Alam dan Bandar Puncak Perdana. Puncak Alam Housing Sdn. Bhd. juga melibatkan diri dalam perniagaan kemudahan awam, juga pada tahun 1989, dengan penubuhan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.

Disebabkan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang, Tan Sri Rozali diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri Selangor bagi menguruskan loji penapisan air bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan. Pada tahun 1997, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. disenaraikan dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Kejayaan besarnya tiba apabila beliau memiliki 33.9 peratus kepentingan dalam Puncak Niaga Holdings Berhad. Tan Sri Rozali juga memiliki kepentingan dalam dua buah lagi syarikat yang tersenarai, iaitu U-Wood Holdings Berhad dengan 8.1 peratus kepentingan dan WWE Holdings Berhad dengan 30 peratus kepentingan melalui Peribadi Johan Sdn. Bhd.

Puncak Niaga Holdings Berhad memegang konsesi dalam 28 buah pusat rawatan air di Selangor, menjadikannya pembekal air yang terbesar di Selangor dengan membekalkan 1,929 juta liter air sehari. Konsesi itu berakhir pada tahun 2020.

Kontrak yang dianugerahkan bagi menjalankan sistem pembekalan air Selangor dan Wilayah Persekutuan bernilai RM1 bilion. Projek ini melibatkan pembekalan dan penggantian pair air dan ini dijalankan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), yang dikuasai oleh Tan Sri Rozali melalui syarikatnya, Central Plus (M) Sdn. Bhd. yang memegang 69.9 peratus kepentingan dan adiknya Mat Hairi yang memegang 30 peratus saham dalam Syabas melalui syarikatnya, Corporate Line (M) Sdn Bhd.

Bagi memudahkan perjalanan projek penswastaan itu, Syabas dibeli oleh Puncak Niaga.Puncak Niaga membeli 700,000 saham Syabas daripada Central Plus (M) Sdn. Bhd. pada harga RM38 juta. Dengan demikian, 70 peratus saham Syabas dimiliki oleh Puncak Niaga dan baki 30 peratus saham Syabas dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan pula memegang satu unit saham emas dalam Syabas. Melalui projek penswastaan ini, Kerajaan Persekutuan memberi bantuan kewangan sebanyak RM2.9 bilion kepada Syabas. Dana itu digunakan bagi memenuhi keperluan modal kerja, pembayaran hutang oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada tiga syarikat rawatan air dan juga bagi membiayai kerja-kerja modal.

Pengiktirafan dan anugerah

Tan Sri Rozali juga adalah Ahli Lembaga Pengarah dalam U-Wood pada 3 September 1999. Tan Sri Rozali juga adalah Pengerusi Eksekutif WWE Holdings Berhad, iaitu syarikat pelaburan dan pembinaan yang membekalkan perkhidmatan kejuruteraan yang berkaitan dengan reka bentuk, aktiviti memasang siap, pemasangan, pembekalan air, pemprosesan kumbahan dan kemudahan alam sekitar.

Tan Sri Rozali juga adalah Ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat persendirian. Tan Sri Rozali juga pernah dan sedang memegang jawatan sebagai Penasihat dan Pengerusi bersama Generasi Wawasan FELDA dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia.

Antara anugerah yang pernah diterima oleh Tan Sri Rozali adalah Fellowship Award dari Institut Pemasaran Malaysia pada 6 November 2001. Ini adalah kerana sumbangannya kepada institut itu dan juga strategi unik yang digunakan bagi memasarkan projek Bandar Baru Puncak Alam dan Bandar Puncak Perdana.

Pada 26 Mac 2002, Tan Sri Rozali dianugerahkan Anugerah Pengurusan Air Cemerlang peringkat Asia 2002 bagi kategori Anugerah Individu oleh Persatuan Air Malaysia. Ini adalah kerana sumbangannya dalam menjana pengurusan yang cemerlang dan amalan terbaik dalam industri air.
Pada 16 Januari 2003, Tan Sri Rozali dinamakan sebagai antara 10 usahawan terbaik Malaysia oleh Ernst & Young. Ini adalah kerana sumbangannya dalam bidang keusahawanan dan kepimpinan.


---------------------------------

Beliau tidak menganggap berniaga sebagai kerja tetapi sebagai hobi. Dia tidak takut membuat kesalahan dan sentiasa belajar daripadanya. Beliau juga berani mengambil risiko.
HARSUKHLAL Maganlal Kamdar adalah Pengasas dan Pengarah Urusan pasar raya Kamdar. Harsukhlal juga adalah Presiden Persatuan Gujarati.

Latar belakang

Harsukhlal adalah usahawan yang dilahirkan di Gujerat. Beliau tiba di Malaysia pada tahun 1941 bagi menyertai ayah dan abangnya dari kampung halamannya di Rajkot, iaitu selepas menamatkan tingkatan lima pada usia 14 tahun. Pada masa itu, bapanya menghendaki beliau meneruskan pelajaran tetapi beliau ingin bekerja. Walaupun kurang mendapat pendidikan formal kerana belajar hanya setakat tingkatan lima, beliau banyak mendapat ilmu daripada sumber-sumber lain seperti pengalaman kerja dan juga pengalamannya sebagai usahawan.

Mula berniaga

Harsukhlal memulakan perniagaannya dalam bidang import eksport tetapi perniagaannya itu terpaksa dihentikan apabila Perang Dunia Kedua melanda. Selepas itu, beliau sering menunggang basikal 20 batu sehingga 30 batu sehari di sekitar Pulau Pinang bagi mencari peluang-peluang perniagaan.

Menyertai abang…

Usahanya itu kurang membuahkan hasil. Pada tahun 1945, beliau menghentikan usahanya mencari peluang per-niagaan di sekitar Pulau Pinang dan menyertai abangnya yang membuka sebuah kedai kain di Ipoh. Harsukhlal menyertai perniagaan abangnya itu buat seketika sebelum pulang ke India selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Selepas beberapa lama di India, beliau pergi ke Singapura bagi menyertai perniagaan yang dimiliki oleh bangsa Punjabi. Perniagaan itu melibatkan import eksport kain, sagu, kekacang, kain guni dan bermacam barangan lagi. Harsukhlal bekerja di situ selama tiga tahun.

Mencari pendapatan tambahan

Semasa bekerja dengan kedai itu, Harsukhlal berasakan gaji yang diterimanya sebanyak 80 dolar tidak mencukupi. Jadi, bagi menampung pendapatannya, beliau bekerja secara sambilan dari pukul 5 petang sampai 7 malam di pejabat juruaudit. Di situ, tugas beliau adalah memeriksa akaun. Beliau dibayar sebanyak 120 dolar.

Permulaan Kamdar

Selepas berhenti dari kedai itu, beliau mula bekerja dengan abangnya, Balvantrai di kedai dua tingkat di Ipoh. Di situlah ‘Kamdar’ bermula pada tahun 50-an dengan nama asalnya BA Lalaji yang seterusnya bertukar kepada BH Kamdar & Kamdar. Kedai kedua dibuka di Pulau Pinang, diikuti dengan kedai di Singapura bagi menguruskan perniagaan pemborongan tekstil.

Berkembang ke KL

Selepas membuka kedai di Ipoh dan Pulau Pinang, Kamdar terus berkembang ke Kuala Lumpur. Kedai itu dibuka pada tahun 1973 di No. 431-433, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, empat tahun selepas dibuka, iaitu pada tahun 1977, kedai itu ditutup dan lot rumah kedai yang kosong itu disewakan kepada orang lain. Harsukhlal tidak bersetuju dengan keputusan abang-abangnya dan berpendapat pendapatan yang dijana daripada penyewaan lot kedai itu tidak berbaloi. Malangnya, nasihatnya tidak diendahkan.

Berusaha memperbaiki keadaan

Harsukhlal kemudiannya membuat keputusan pergi sendiri ke Kuala Lumpur pada tahun 1977 dan cuba memperbaiki keadaan. Pada tahun 1980, beliau membuka kedai di Jalan Chow Kit, iaitu pasar raya 6 tingkat di sebelah pasar raya Batu Road. Kemudian, sebuah lagi dibuka di sebelah Globe Silk Store.

Pertukaran dalam tumpuan perniagaan

Harsukhlal dan abang-abangnya kemudiannya membuat keputusan beralih daripada perniagaan borong kepada runcit. Pertukaran dalam tumpuan perniagaan itu adalah disebabkan terma kredit yang terlalu lama dalam perniagaan borong. Namun, mereka tetap mempunyai sebuah unit di Pulau Pinang yang mengkhususkan pada perniagaan borong.

Kejayaan

Perniagaan Kamdar terus berkembang pesat dan mereka terus membuka cawangan kedai di bandar-bandar utama di seluruh Semenanjung Malaysia. Dengan enam buah kedai di Kuala Lumpur, yang mana empat adalah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kamdar kini mempunyai 18 buah kedai dengan 1,000 orang pekerja. Harsukhlal juga bercadang mengembangkan lagi perniagaannya hingga ke Sabah dan Sarawak.

Kemelesetan

Walaupun melalui banyak kemelesetan ekonomi, Kamdar masih kekal sebagai pasar raya tempatan yang berdaya saing. Pada hari ini, pasar raya Kamdar menawarkan pelbagai jenis tekstil dan fabrik pada harga yang berpatutan. Kamdar memperoleh kainnya daripada sumber tempatan dan juga melalui pejabat operasinya di luar negara seperti di India, Indonesia, Korea dan Emiriyah Arab Bersatu.

Kebajikan

Harsukhlal adalah orang yang pemurah dan menguruskan beberapa rumah anak yatim di India. Beliau juga membina asrama khusus bagi kanak-kanak perempuan terbiar di Gujarat. Harsukhlal juga dilaporkan menderma sebanyak RM500,000 kepada mangsa gempa bumi di Bhuj, India.

Rahsia kejayaan

Beliau tidak menganggap berniaga sebagai kerja tetapi sebagai hobi. Dia tidak takut membuat kesalahan dan sentiasa belajar daripadanya. Beliau juga berani mengambil risiko.
Perniagaannya juga kekal teguh kerana semangat kekeluargaan yang mantap. Semua ahli keluarganya bekerja dengan Kamdar. Harsukhlal sentiasa berusaha menambahkan kepelbagaian produk yang dijual supaya setiap kehendak pelanggan dapat dipenuhi.

Mereka juga sentiasa memastikan segala komitmen kepada pihak bank dipenuhi tepat pada masanya. Contohnya, mereka memastikan segala hutang dijelaskan dengan sepenuhnya dan tepat pada masanya. Tidak lupa juga pihak pembekal yang harus dibayar tepat pada masanya.

Kamdar juga memastikan sewa kedai, iaitu apabila mereka menyewa ruang niaga di pusat membeli belah dibayar tepat pada masanya. Harsukhlal juga adalah orang yang rajin.
Falsafah
Falsafah perniagaan Kamdar adalah ‘beli murah dan jual murah’. Ini bermakna mereka sentiasa berusaha menjual dengan harga yang berpatutan.

Kejayaan Kamdar juga adalah kerana syarikat itu mempunyai beberapa peraturan. Pertama, pengarah syarikat tidak dibenarkan mengambil overdraf daripada pihak syarikat. Kedua, syarikat tidak dibenarkan menjadi penjamin kepada orang perseorangan. Ketiga, syarikat tidak boleh terlalu aktif dalam pasaran saham.

Keempat, wang syarikat tidak boleh dilaburkan dalam sektor hartanah bagi mendapatkan pendapatan sewa dan juga peningkatan dalam harga. Contohnya, apabila salah seorang pemegang saham dalam Kamdar ingin membuka perniagaan lain, hartanah yang dibeli bagi memulakan perniagaan itu perlu dibeli dengan menggunakan wangnya sendiri. Ini kerana apabila wang syarikat digunakan, syarikat kelak akan kekurangan wang bagi membayar pembekal dan bank.

----------------------------------

Pada tahun 1990, ketika berusia 36 tahun kedudukannya bertambah baik apabila beliau dilantik sebagai Pengarah atau Ketua Pengurus Besar EON.
TAN Sri Nadzmi berasal dari Kota Bharu, Kelantan dan lahir pada 1 Mei 1954. Tan Sri Nadzmi dibesarkan dalam sebuah keluarga yang ramai, iaitu 10 orang adik-beradik. Bapanya adalah pegawai daerah dan kemudian menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Permulaan kerjaya

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah ekonomi di Universiti Putra Malaysia. Sebenarnya, cita-cita awalnya adalah mahu menjadi jurutera elektrik, dan kemudian bertukar kepada juruukur kuantiti.

Selepas itu, beliau pernah bekerja di Petronas sebagai eksekutif pemasaran di bahagian pemasaran antarabangsa. Atas pelawaan seorang rakan, beliau menyertai HICOM sebagai Penolong Pengurus Bahagian Projek. Beliau bertanggungjawab mengenal pasti dan menguruskan pembangunan projek.

Penglibatan Nadzmi dalam pasukan projek kereta nasional yang melahirkan PROTON dan EON, menyebabkan beliau dilantik sebagai Pengurus Pemasaran Perkhidmatan EON pada tahun 1984.

Pengurus Besar EON

Pada tahun 1990, ketika berusia 36 tahun kedudukannya bertambah baik apabila beliau dilantik sebagai Pengarah atau Ketua Pengurus Besar EON.

Sentuhan Nadzmi

Selepas setahun beliau memegang jawatan ini, pencapaian keuntungan EON sebelum cukai pada tahun itu meningkat daripada RM38 juta ke RM120.6 juta.
Kini Nadzmi turut memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat besar. Antaranya adalah Pengerusi Eksekutif Mara Holding Sdn. Bhd., Pengerusi R. J. Reynold, Pengerusi Eksekutif ERL, Pengarah/Pengerusi Len Brothers Rubber Products Industries Berhad, dan Pengarah SIRIM.

Faktor kejayaan

Salah satu faktor yang menyumbang kepada kejayaannya adalah perwatakannya yang sentiasa ceria dan tersenyum, mudah mesra dan senang didekati. Ketika beliau memegang jawatan di EON, beliau menemui ramai pegawai kanan dan pengerusi syarikat pengeluar kereta di seluruh dunia dan belajar daripada mereka. Pengalaman dan idea yang banyak diperolehnya daripada pengalaman ini yang digunakannya bagi mengembangkan EON.

Kepelbagaian

Nadzmi percaya kepada kepelbagaian dalam pengurusan diri. Semasa kecil, beliau seperti kanak-kanak biasa suka mengumpul setem dan duit syiling. Beliau juga gemar memasak dan pernah diberi penghargaan sebagai tukang masak terbaik dalam pasukan pengakap yang dianggotainya ketika bersekolah dahulu. Beliau mahir memasak masakan antarabangsa, antaranya masakan Itali dan Iran.

Ilmu

Pada awal pembabitannya dalam korporat, beliau mendapat banyak ilmu yang berguna dalam dunia pengurusan dan perniagaan melalui pergaulan rapatnya dengan mendiang Tan Sri Loh Boon Siew dan Tan Sri Eric Chia.

Beliau juga yakin pengurusan perlu dilakukan dengan bermatlamat, memerlukan kesabaran dan usahawan perlu berani mengambil risiko.

-----------------------------------

Lia Farhana, eksekutif muda di sebuah syarikat multinasional yang giat mencari ilmu berkenaan bidang keusahawanan. Dia ingin menjadi usahawan yang berjaya. Beliau ingin mengetahui siapakah usahawan berjaya tetapi murah hati membuat kebajikan. Ikuti dialog ini...
Lia Farhana berdiri sahaja di luar bilik rakannya, Amir Hamzah. Menerusi tingkap di luar bilik itu, dia melihat buku-buku yang tersusun rapi di sebuah rak kayu berukir. Sedari tadi, dia tidak henti-henti melihat jam tangannya. Tiba-tiba, Amir Hamzah sudah berdiri di depannya. Mengapa Lia Farhana begitu beria-ia ingin berjumpa dengan Amir Hamzah?

Amir Hamzah : Sudah lama sampai, Hana?

Lia Farhana : Tidaklah lama sangat.

Amir Hamzah : Silakan masuk (Amir membuka pintu pejabatnya untuk Lia Farhana).

Lia Farhana : Terima kasih.

Amir Hamzah : Ya, semalam Hana kata Hana hendak tahu berkenaan usahawan?

Lia Farhana : Ya, sebenarnya saya sedang buat kertas kerja berkenaan usahawan-usahawan di Malaysia. Dalam kertas kerja saya nanti, saya ingin memfokuskan pada seorang usahawan sahaja. Tidak perlu ramai.

Amir Hamzah : Boleh. Tapi Hana hendak tahu usahawan macam mana?

Lia Farhana : Sebenarnya saya berminat hendak mengetahui usahawan yang berjiwa kebajikan.

Amir Hamzah : Apa maksud Hana?

Lia Farhana : Maksud saya usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal seperti Bill Gates, Pengerusi Microsoft. Adakah usahawan seperti itu di Malaysia?

Amir Hamzah : Oh, begitu. Ada, memang ada usahawan seperti itu di Malaysia.

Lia Farhana : Siapa dia?

Amir Hamzah : Tidak lain tidak bukan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary !

Lia Farhana : Macam pernah dengar. Orang Kedah kah?

Amir Hamzah : Ya, Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951.

Lia Farhana : Tetapi daripada namanya, beliau berketurunan Arab. Betul kah, Amir?

Amir Hamzah : Ya, Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, ayahnya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Memang giat ayahnya berniaga. Seterusnya, bapanya pergi ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.

Lia Farhana : Dia anak sulung kah, Amir? Bukan apa, selalunya anak sulung yang berjaya.

Amir Hamzah : Ya kah? Habis, sekiranya saya anak bongsu, saya tidak boleh berjaya? (sambil tersenyum). Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai 7 orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Bukan anak sulung, ya, anak yang ketiga.

Lia Farhana : Oh, begitu…. nampaknya saya pun bolehlah berjaya, ya.

Amir Hamzah : Ya, Insya Allah…. dengan usaha, doa dan tawakal, siapa pun boleh berjaya. Lihat sahaja pada Tan Sri Syed Mokhtar. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkannya susah hendak menelaah. Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Keadaan itu juga mendorongnya bagi memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan Albukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.

Lia Farhana : Wah ! Bagus ya ! Semangatnya cukup mengagumkan ! Ceritalah lagi Amir. Bagaimana dengan alam persekolahannya?

Amir Hamzah : Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke Tingkatan Lima di Sekolah Saint Micheal’s.

Lia Farhana : Selepas tingkatan lima?

Amir Hamzah : Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi, iaitu beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidaklah bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi. Sesungguhnya, ilmu ada di mana-mana.

Lia Farhana : Betul juga. Bill Gates pun tidak pernah ke universiti walaupun ditawarkan tempat dalam universiti yang berprestij, iaitu Harvard. Oh ya, tadi Amir ada beritahu keluarga Tan Sri Syed kurang berkemampuan. Jadi, adakah beliau membantu keluarganya?

Amir Hamzah : Ya, sudah tentu. Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di sebuah pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama. Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya bagi membuat simpan kira atau bookkeeping. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di sebuah pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.

Lia Farhana : Tetapi pada masa itu, beliau cuma bantu sikit-sikit. Bila beliau mula giat berniaga, Amir?

Amir Hamzah : Begini….semuanya bermula pada era 1970-an. Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.

Lia Farhana : Eh, bagaimana pula Amir? Tadi awak kata beliau tidak lagi menternak haiwan. Dari mana daging itu datang? Dari langit? (Lia Farhana tersenyum meleret).

Amir Hamzah : Ya lah, dari langit biru (sambil tergelak). Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar untuk membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudian membungkus bersama ais dan menjual kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinannya bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Lia Farhana : Wah ! Rajin ya !

Amir Hamzah : Memang kita perlu rajin sekiranya kita hendak berjaya dalam apa bidang sekalipun, seperti mahu jadi usahawan, doktor, akauntan perlu rajin. Jangan jadi macam Mat Jenin.

Lia Farhana : Ada-ada sahaja awak ini. Hendak masuk bab Mat Jenin pulak. Berbalik kepada bab Tan Sri Syed, apa yang beliau lakukan seterusnya?

Amir Hamzah : Jangan terkejut, Hana. Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi 4 buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Lia Farhana : Amir, tadi awak kata ada empat permit. Beliau hanya menggunakan dua permit. Baki lagi dua permit? Jual pada awak?

Amir Hamzah : Sekiranya jual pada saya, saya pun hendak buka perniagaan pengangkutan. Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka sebuah syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu. Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud hingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Lia Farhana : 40 buah lori ?!

Amir Hamzah : Ya, betul Lia. Kenapa, tidak percaya kah?

Lia Farhana : Mmm….jangan merajuk pula, Amir. Jangan risau, saya percaya awak (sambil tersenyum). Sekiranya awak berada di tempat beliau, awak jual permit itu?

Amir Hamzah : Mmm….rasa teringin juga hendak jual. Tetapi, tidak elok pula. Permit itu sudah diamanahkan kepada kita. Kita harus bertanggungjawab. Saya sokong tindakannya !

Lia Farhana : Baguslah. Awak memang ada sifat usahawan yang berkaliber. Di mana pejabat pertama Tan Sri Syed?

Amir Hamzah : Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar. Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Lia Farhana : Itu sahaja?

Amir Hamzah :Eh, tidak. Usahawan seperti Tan Sri Syed sentiasa mencari peluang-peluang baru. Selepas berjaya dengan Syarikat Shah , beliau menubuhkan sebuah syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai, 1976 di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.

Lia Farhana : Kenapa semua di Jalan Telok Wan Jah?

Amir Hamzah : Tidak tahulah, mungkin beliau teringat zaman persekolahannya semasa beliau berniaga di situ. Macam awak juga lah….teringat-ingat pada Cikgu Ridzuan (sambil tersenyum).

Lia Farhana : Eh, ke situ pula awak. Saya suka Cikgu Ridzuan kerana dia betul-betul mahu membantu mendidik anak bangsa. Selain beras, apa lagi yang Tan Sri Syed berniaga?

Amir Hamzah : Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250juta !

Lia Farhana : Wah ! Banyak ! Amir mintalah sikit daripada beliau (sambil tersenyum). Bukan kah Amir mahu kumpul duit hendak kahwin?

Amir Hamzah : Ya lah tu…hendak tahu lagi berkenaan Tan Sri Syed?

Lia Farhana : Tentulah hendak, Amir. Ceritalah lagi.

Amir Hamzah : Tan Sri Syed Mokhtar sememangnya orang yang sentiasa dahagakan kejayaan. Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di sebuah rumah kedai 4 tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi. Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga ghee kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubahsuai menjadi pusat pembungkusan.

Lia Farhana : Pejabat pun boleh jadi pusat pembungkusan?

Amir Hamzah : Sudah pasti, Hana. Kita perlu pandai menggunakan sumber yang kita ada.

Lia Farhana : Tetapi, dari mana beliau dapat susu itu, Amir? Bukan kah beliau tidak menjalankan kegiatan penternakan lagi?

Amir Hamzah : Cekap betul Hana menangkap, ya. Sebenarnya, apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah sebuah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor. Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi yang melanda.

Lia Farhana : Rugilah beliau jual. Kenapa tidak teruskan sahaja?

Amir Hamzah : Ha….itu kena tanya beliau sendiri. Mungkin beliau ada strategi tersendiri.

Lia Farhana : Strategi apa pula, Amir?

Amir Hamzah : Mungkin beliau jual kerana mahu terlibat dalam perniagaan di peringkat antarabangsa. Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China.

Lia Farhana : Awak buat lawak kah, Amir? Zaman sekarang pun masih ada barter.

Amir Hamzah : Ada lagi, Hana. Cuma bezanya barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Lia Farhana : Mmm….ok lah, saya percaya. Apa lagi yang Tan Sri Syed usahakan? Tentu menarik.

Amir Hamzah : Memang menarik, Hana. Setelah mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Lia Farhana : Adakah beliau menubuhkan syarikat sendiri?

Amir Hamzah : Ada, Hana. Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah sebuah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.

Lia Farhana : Oh, begitu. Apa yang berlaku seterusnya?

Amir Hamzah : Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Lia Farhana : Eh, minat pula beliau dengan perniagaan pakaian, ya.

Amir Hamzah : Betul, Hana. Beliau adalah usahawan yang menggunakan strategi pempelbagaian atau diversification. Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman berusia 28 tahun pada harga USD1 juta. Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkannya terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta – USD600,000).

Lia Farhana : Eh, rugi pula?

Amir Hamzah : Begini, Hana. Rugi tidak semestinya kita gagal dalam perniagaan. Apa yang penting kita perlu mendalami sebab di sebaliknya. Kita perlu belajar daripada kesilapan.

Lia Farhana : Memang sah awak ini ada tokoh jadi usahawan berjaya (sambil tersenyum).

Amir Hamzah : Insya Allah. Hana tolong doakan.

Lia Farhana : Beres ! Mmm….tetapi selepas beliau rugi, Tan Sri Syed tidak patah semangat, Amir? Saya, mungkin sudah patah semangat.

Amir Hamzah : Pantang pejuang menyerah, Hana. Pada masa yang sama, beliau mula membabitkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa buah projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Lia Farhana : Menarik juga, Amir. Saya ingat saya hendak beli rumah yang dibangunkan syarikatnya.

Amir Hamzah : Baguslah. Nanti jangan lupa buat house warming.

Lia Farhana : Tidak ada masalah….boleh. Amir, saya pernah mendengar Tan Sri Syed juga giat dalam pembangunan negeri Johor. Betul kah?

Amir Hamzah : Betul, Hana. Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Lia Farhana : Wah ! Uruskan pelabuhan pula ?!

Amir Hamzah : Ya. Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Lia Farhana : Cekap betul dia, ya ! Tetapi, pihak Singapura tidak marah kah?

Amir Hamzah : Itu saya tidak pasti pula, Hana.

Lia Farhana : Apa lagi yang beliau lakukan, Amir? Ada terbabit dalam projek penswastaan lagi?

Amir Hamzah : Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu sebuah syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta sebuah syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.

Lia Farhana : Mmm….memang beliau usahawan berjaya.

Amir Hamzah : Bukan setakat itu sahaja, Hana. Beliau juga membeli MMC Corporation, sebuah syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, sebuah syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan. Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu sebuah konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, sebuah syarikat peruncitan dan pengedaran buku.

Lia Farhana : MPH? Eh, itu kedai buku kegemaran saya. Saya selalu ke situ pada hujung minggu untuk membaca buku.

Amir Hamzah : Wah ! Rajin awak ya ! Siapa penulis kegemaran Hana?

Lia Farhana : Saya suka membaca karya Puan Ainon Mohd. dan saudara Ashadi Zain.

Amir Hamzah : Boleh pinjam?

Lia Farhana : Boleh….tetapi ceritalah lagi berkenaan Tan Sri Syed. Kenapa tiba-tiba beliau mengambil alih sebuah rangkaian kedai buku? Sudahlah dia beli 100 peratus kepentingan.

Amir Hamzah : Ini mungkin disebabkan minatnya supaya menggalakkan bidang pendidikan. Baginya, MPH mampu menjadi wadah bagi menerbitkan dan mengedarkan buku, termasuklah karya-karya berkenaan Islam serta menyemai tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Lia Farhana : Oh ya, bercakap berkenaan menggalakkan tabiat membaca, boleh Amir ceritakan dengan lebih lanjut berkenaan Yayasan Albukhary?

Amir Hamzah : Sebenarnya, Yayasan Albukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai sebuah badan kebajikan yang memfokuskan bagi membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban. Antara objektif utama Yayasan Albukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya. Sehingga kini, Yayasan Albukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan.

Lia Farhana : Apa projek-projek utama yayasan itu?

Amir Hamzah : Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks Albukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai sebuah kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan sebuah pusat pengajian tinggi.

Lia Farhana : Tetapi itu yang belum siap. Ada yang sudah siap?

Amir Hamzah : Ada. Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan Albukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.

Lia Farhana : Muzium Kesenian Islam? Rasanya saya pernah ke situ. Tenang rasanya menikmati keindahan seni Islam.

Amir Hamzah : Tidak sangka pula awak ini berjiwa seni, ya (sambil tersenyum).

Lia Farhana : Tentulah, Mmm….Yayasan Albukhary tidak menawarkan biasiswa kah? Bukan apa, adik saya teringin hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Amir Hamzah : Ada, tetapi mungkin adik awak tidak layak sebab keluarga awak berharta. Yayasan Albukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.

Lia Farhana : Mmm….tidak mengapa. Tetapi, apa lagi sumbangannya dalam bidang pendidikan?

Amir Hamzah : Pada tahun 2000, Yayasan Albukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan Albukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Selain itu, Yayasan Albukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.

Lia Farhana : Bagus betul Tan Sri Syed Mokhtar. Banyak berbelanja bagi kerja-kerja amal. Eh, sudah pukul 4.30?! Maaflah, saya mahu balik dulu.

Amir Hamzah : Tunggu dulu, Hana. Saya belum habis cerita lagi. Sedikit lagi. Boleh?

Lia Farhana : Mmm….ok lah.

Amir Hamzah : Penglibatan Yayasan Albukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan Albukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan Albukhary menyumbang sebanyak RM1juta bagi Projek Langkawi, sebuah projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.

Lia Farhana : Kekayaannya tidak terjejas kah kerana banyak menderma?

Amir Hamzah : Eh, tidak. Lebih banyak kita menderma, Tuhan akan beri lebih lagi. Yakinlah. Tan Sri Syed sendiri adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion.

Lia Farhana : Mmm….bilalah kita hendak kaya seperti itu?

Amir Hamzah : Insya Allah. Sekiranya dia boleh, kita juga pasti boleh.

Lia Farhana : Ok lah, saya balik dulu. Assalamualaikum.

Amir Hamzah : Waalaikumussalam warahmatullah.

---------------------------------

1 Comments:

Blogger tpraja said...

Have you seen the new India search engine www.ByIndia.com they added all the cool features of popular products like MySpace, YouTube, Ebay, Craigslist, etc. all for free to use and specifically for India. Anyone else try this yet?

ByIndia.com First to Blend Search, Social Network, Video Sharing and Auctions Into One Seamless Product for Indian Internet Users.

6:54 AM  

Post a Comment

<< Home